Keadaan terumbu karang di seluruh dunia semakin terjejas teruk. Di kebanyakan kawasan, kesan langsung daripada aktiviti manusia seperti penangkapan ikan secara terlarang, penggunaan bahan letupan dan racun sianida serta pengutipan karang secara haram, termasuk juga kesan pencemaran dan peningkatan suhu dunia, telah menyumbang kepada kemusnahan batu karang. Bagaimanapun, karang yang dikultur di dalam makmal dapat membantu memulihkan semula karang-karangan yang telah dimusnahkan. Daripada menunggu bertahun-tahun untuk karang tumbuh secara semulajadi, para penyelidik dapat mempercepatkan proses melalui penanaman semula karang di dalam nurseri.

 

Kaedah pemulihan karang secara tradisional memerlukan koloni karang dewasa diselamatkan daripada mati. Tiada karang baru akan ditambah ke laut dan sebarang kematian akibat daripada operasi menyelamat karang akan memberi kesan langsung kepada kematian karang. Justeru, ini bukanlah cara terbaik untuk memulihkan ekosistem karang. Maka penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Pulau Pinang telah memulakan suatu projek dengan mengambil induk karang yang hampir musnah dan membahagikannya kepada koloni-koloni baru bagi mewujudkan lebih banyak koloni-koloni karang untuk tujuan tanaman semula. Kaedah pembiakan karang secara aseksual ini dipanggil penanaman semula karang. Proses sebegini telah berjaya dipraktikkan di seluruh dunia.

 

Kajian ini mula dijalankan di Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Pinang. Induk karang telah diambil dari Port Dickson, Negeri Sembilan; Pulau Kendi, Pulau Pinang; dan Pulau Songsong, Kedah. Ia dibawa balik ke FRI dan dimasukkan di dalam tangki semaian berkedalaman 1 meter selama beberapa hari untuk menyesuaikannya dengan persekitaran baru. Seterusnya ia dipotong kepada beberapa bahagian yang kecil dengan menggunakan kaedah dan peralatan khusus. Simen khas (yang dapat mengeras kurang dari 30 saat) dituang ke dalam cawan plastik. Karang yang telah dipotong dilekatkan pada substrak simen sebelum ianya dimasukkan kembali ke dalam tangki semaian. Gambar karang diambil sebagi rujukan untuk tujuan dokumentasi.

 

Sejak pertengahan tahun 2012, sebanyak 23 spesies karang keras dan 6 spesies karang lembut telah menjalani proses penanaman semula.  Berdasarkan keputusan awal, kesemua karang yang terpilih boleh dipropagasi.  Kadar kemandirian karang keras dalam tempoh 6 bulan pertama adalah melebihi 70%, sementara karang lembut adalah melebihi 50%.  Sebanyak 6 spesies telah berjaya dijadikan generasi kedua (F2).  Kadar kemandirian spesies F2 adalah lebih tinggi berbanding generasi pertama (Karang keras >80%; Karang lembut >70%).

Kadar tumbesaran spesies karang keras yang ditanam semula mampu mencecah 3cm dalam tempoh 6 bulan pertama selepas ditanam semula, sementara kadar tumbesaran spesies karang lembut adalah melebihi 3cm.

Jabatan Perikanan Malaysia telah memulakan aktiviti propagasi karang pada tahun 2011 di FRI Batu Maung, Pulau Pinang. Kemudiannya projek ini telah dikembangkan ke Pusat Ikan Hiasan Pori Dickson, Negeri Sembilan bermula tahun 2012. Sehingga kini jabatan telah mempunyai lima syarikat di bawah program Usahawan Agropreneur Muda yang sedang menjalankan aktiviti propagasi karang secara in situ di Pulau Bidong, Terengganu dan juga secara ex situ di Pusat Ikan Hiasan Port Dicskon, Negeri Sembilan.

Kursus mengenai kaedah kultur dan propagasi karang untuk industri akuarium telah dianjurkan di Pusat Akuakultur Port Dickson yang melibatkan 10 orang peserta belia dan 5 orang kakitangan Jabatan dari seluruh Malaysia. Antara silibus yang disukat bagi pelaksanaan kursus ini merangkumi pengenalan umum dunia karang, biologi, taksonomi, pembiakan, kultur, propagasi dan isu-isu atau keperluan standard antarabangsa berkaitan karang di Malaysia. Objektif utama kursus ini adalah untuk melahirkan pengusaha perintis dari golongan belia yang berminat untuk menceburi perniagaan karang-karangan di dalam Akuarium. Di samping itu, pelaksanaan program ini akan diperkembangkan untuk dijadikan sebagai  "exit plan" bagi komuniti nelayan dan diberi peluang untuk melibatkan diri dalam penanaman karang di kawasan laut.‚Äč

Baca Selanjutnya...