​​PENGENALAN

Mengkudu ialah tanaman bersifat saka berasal dari Asia, Australia dan kepulauan Pasifik. la telah hidup secara liar berabad-abad lamanya di negara kita dan kurang mendapat perhatian pada masa itu. Kebanyakannya terdapat di kawasan pinggir hutan dan berdekatan dengan peparitan dan sungai.​


KHASIAT DAN KEGUNAAN

​Mengkudu mempunyai pelbagai kegunaan. la telah digunakan sejak turun-­temurun dalam perubatan tradisional terutama di kalangan masyarakat Melayu. 'Penemuan semula' dan minat masyarakat umum terhadap tanaman 'ajaib' ini bermula pada penghujung 1998 selepas penemuan saintifik tentang bahan aktif serta fungsinya oleh seorang ahli biokimia dari Universiti Hawaii. Satu bancian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 22 jenis masalah kesihatan telah dapat dibantu dengan pengambilan mengkudu. Antaranya ialah kanser, kencing manis, darah tinggi, tulang, jantung, kemurungan, pernafasan, penghadaman dan buah pinggang. Mengkudu juga boleh dibangunkan ke produk kumpulan makanan seperti makanan kesihatan/tambahan, tonik, minuman dan perubatan tradisional dan barangan bukan makanan seperti kosmetik, penjagaan/kesihatan diri dan biopestisid.