Facebook Twitter Google+

 

Udang galah dikenali dengan nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii mendiami kawasan perairan sungai merupakan subfilum arthropoda dikenali sebagai 'krustasea'.

Ternakan udang galah di Malaysia adalah merupakan satu bidang yang mempunyai potensi dan menghasilkan keuntungan yang lumayan sekiranya pengurusan ternakan berjaya. Kebiasaannya udang galah diternak dengan menggunakan sistem ternakan kolam. Ternakan udang galah di kolam tanah bermula daripada peringkat (post larva) sehingga ke saiz pasaran (marketable size). Harga jualan udang galah pada masa ini cukup mahal iaitu di antara RM 60-80/kg kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. Penternak di Malaysia mendapatkan induk udang galah liar melalui nelayan-nelayan sungai. Kebiasaannya, induk betina yang diperolehi ini mempunyai telur dan menunggu masa untuk menetas.

Salah satu faktor yang menghalang pertumbuhan perusahaan ternakan udang galah di negara ini adalah masalah bekalan benih yang tidak mencukupi dan harga makanan (pellet) yang mahal. Oleh yang demikian, pelbagai langkah yang telah diambil Jabatan Perikanan bagi menampung keperluan benih udang galah dan memastikan sumber asli udang galah supaya tidak pupus. Di antaranya, Jabatan Perikanan telah mewujudkan Pusat Penetasan Udang Galah (PPUG), Sitiawan, Perak, dan Pusat Inkubator Penetasan Udang Galah, Kuala Linggi, Melaka. Pusat-pusat ini berperanan menghasilkan benih udang galah untuk diberikan kepada kepada penternak kecil secara percuma. Benih udang galah ini juga turut dilepaskan ke perairan umum melalui program-program yang dianjurkan Jabatan supaya dapat mengekalkan kelestarian sumber. Selain itu, Institut Penyelidikan Perikanan, Pulau Sayak, Kedah juga menjalankan kajian penyelidikan bagi menghasilkan benih yang berkualiti untuk ketahanan penyakit dan kadar hidup yang tinggi.​