Durian (Durio zibethinus Murr.) merupakan antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan banyak ditanam di Malaysia. Secara tradisional, pokok durian ditanam daripada baka biji benih di dusun-dusun di kampung. Lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam, tidak pasti kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik.
Jabatan Pertanian telah mengenal pasti dan mengumpul koleksi klon durian semenjak tahun 1934 dan sehingga sekarang telah mendaftarkan hampir 200 klon durian. Walau bagaimanapun, hanya sebilangan kecil sahaja yang disyorkan untuk ditanam secara komersil berdasarkan kepada ciri-ciri buah tersebut iaitu mutu buah yang tinggi, hasil yang banyak dan kesesuaian dengan agro iklim negara.
Hampir kesemua hasil durian dieksport ke Singapura. Persaingan yang hebat juga dijangka akan terus dihadapi dengan negara jiran, khususnya Thailand, dari segi pengeksportan ke Singapura dan juga peningkatan penggunaan durian Thailand oleh penduduk tempatan. Dalam masa yang sama Malaysia juga mengimport lebih kurang 10,000 hingga 17,000 metrik tan durian dari negara jiran yang bernilai di antara RM 9 juta hingga RM 19 juta.
Penggunaan dalam negara dan eksport serta pengeluaran untuk gantian import boleh dipertingkatkan lagi sekiranya durian yang dihasilkan berkualiti tinggi. Kawasan-kawasan durian sedia ada perlu dipulihkan dengan klon-klon yang bermutu tinggi serta ditentukan pengamalan pengurusan ladang yang baik. Langkah ini akan dapat menentukan penghasilan yang tinggi dan berkualiti.
Baca Selanjutnya...