PENGENALAN Tanaman serai makan (Cymbopogen citratus) dilaporkan berasal dari Sri Lanka dan telah tersebar luas di kawasan Tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China. Di Malaysia khususnya, serai makan banyak ditanam sebagai tanaman dapur. Batangnya dituai untuk kegunaan segar sebagai perisa dalam masakan.
KHASIAT DAN KEGUNAAN
Di Malaysia, serai makan terutama batangnya digunakan sebagai bahan perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tomyam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas. Aroma dan rasanya yang unik dapat menambahkan keenakan masakan dan meningkatkan selera.
Tumbuhan ini mampu mengurangkan sengal-sengal tulang dan melawaskan angin. Ia juga dikatakan baik untuk penghadaman serta menggalakkan pengeluaran peluh.
Di sesetengah negara, serai makan diusahakan khas untuk pengeluaran minyak pati. Minyak pati serai makan berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan berbau limau atau 'lemon'. Minyak ini terdiri daripada beberapa sebatian dan kandungan utamanya ialah sitral iaitu sejenis aldehid. Kandungan sitral di dalam minyak pati serai makan adalah antara 65% hingga 85%. Sebatian-sebatian lain yang mempunyai rendah peratusannya termasuklah linalol, geraniol, sitronelal, sitronelol, farnesol, farnesal, limonena dan nerol.
Minyak pati serai makan digunakan sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan beberapa produk lain. Walau bagaimanapun sebahagian besar daripadanya digunakan untuk mendapatkan sitral (secara isolasi fizikal) dan ionon (secara tindak balas kimia terhadap sitral). Kedua-dua sebatian ini banyak digunakan dalam industri wangian, perisa dan kosmetik. Di samping itu, ionon juga merupakan bahan asas yang sangat penting dalam sintensis sebatian-sebatian lain termasuk vitamin A.
Baca Selanjutnya...