Facebook Twitter Google+

Tembikai wangi atau melon (Cucumis melo L.) adalah sejenis tanaman jenis tembikai dari keluarga Cucurbitaceae yang kini sangat popular ditanam di Malaysia. Buah melon digemari kerana rasanya yang sedap, manis, bentuk yang menarik dan digemari oleh semua golongan masyarakat. Buah melon sama ada dimakan segar kerana rasanya yang lazat manis atau di buat jus minuman atau di buat cocktail. Kaedah penanaman melon ialah sama ada diusahakan secara moden dengan sistem fertigasi di bawah struktur pelindung hujan atau sistem terbuka.

Melon dipercayai berasal dari kawasan Utara Benua Afrika sebelum dimajukan di kawasan Meditrenean dan kemudian tersebar ke Eropah dan kawasan Asia dan seluruh dunia. Negara pengeluar utama melon di dunia adalah China (150,000 ha), Turki (150,000 ha), India (100,000 ha), Sepanyol (70,000 ha), USA (42,000 ha), Romania (10,000 ha), Jepun (18,000 ha), Itali (17,000 ha), Perancis, Taiwan dan Australia. Varieti melon yang ditanam di setiap negara berbeza-beza mengikut kehendak pasaran tempatan dan kesesuaian tanah serta agroclimate.

Penanaman melon di Malaysia dulu diusahakan di atas tanah tetapi masa kini ramai petani berminat untuk menanam melon secara sistem fertigasi walau pun kos asas membuat Struktur Pelindung Hujan (SPH) mahal. Melon merupakan salah satu daripada 11 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan dan eksport.

Baca Selanjutnya...