​ 

Rambutan (Nephelium lappaceum L.) merupakan buah yang digemari oleh semua lapisan masyarakat di Malaysia dipercayai berasal dari Malaysia dan Indonesia.  la adalah sejenis buah-buahan tropika yang bermusim dan di dapati ditanam di seluruh negara tropika khususnya di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina. Di Malaysia, pokok rambutan ditanam di kawasan sekeliling rumah dalam bentuk dusun campuran atau ditanam di dusun-dusun secara tunggal. Kawasan utama pengeluaran rambutan ialah di Kelantan, Johor, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah.​​


 

Buah rambutan biasanya dimakan segar atau diproses. Bagi buah yang dimakan segar, ciri-ciri buah yang penting ialah saiz buah, warna buah, rupa keseluruhan buah, ketebalan isi, kemanisan isi, dan kelekangan testa pada isi. Sementara untuk buah yang diproses pula, ianya mestilah mempunyai biji yang kecil, kulit  yang nipis, isi tebal dan rangup serta peratus isi yang tinggi.

Pokok rambutan adalah pokok saka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 20 m dan mempunyai kanopi yang rimbun dan rendang. Pokok rambutan yang diurus dengan baik boleh mengeluarkan hasil sehingga 25 tahun. Pokok rambutan dari baka cantuman mempunyai batang utama yang besar dan pendek serta dahan utama yang rendah. Pokok rambutan mempunyai sistem percabangan tengah terbuka (open centere).

Di Malaysia pokok rambutan mengeluarkan bunga pada bulan Mac hingga Julai dan dari akhir bulan Julai hingga November. Bunga biasanya akan keluar selepas musim kemarau diikuti dengan hujan. Bunga jantan dan betina boleh terdapat secara berasingan di dalam satu jambak. Terdapat juga pokok rambutan yang mempunyai bunga jantan atau bunga betina sahaja. Kebanyakan  pokok rambutan  mempunyai bunga hermafrodit iaitu dua jenis bunga iaitu bunga jantan dan betina dalam satu pokok.

Bagi pembentukan buah, pokok rambutan memerlukan proses pendebungaan berkacuk. Proses pendebungaan dilakukan oleh serangga. Agen utama pendebungaan tanaman rambutan ialah kelulut (Trigona spp.), lebah (Apis spp.), semut (Companatus spp.) dan Scolia spp. Pokok rambutan berbuah pada tangkai di hujung ranting. Buah rambutan berbentuk bujur atau hampir bulat dan berukuran lebih kurang 5 cm. Buah muda berwarna hijau dan bertukar menjadi kuning atau merah apabila masak.Tempoh masa dari bunga berkembang hingga buah masak ialah di antara  100 hingga 130 hari. Pada kebiasaannya ia mengambil masa 30 hari dari buah pertama yang masak sehingga buah terakhir yang masak dalam pokok. Kulit buah mempunyai rambut sama ada berwarna merah atau kuning yang panjangnya 0.8 -1.0 cm. Kulit buah lazimnya nipis dan mudah dikopek dengan tangan dan buah rambutan mempunyai isi yang manis dan berjus.


 

Baca Selanjutnya...