​​

PENGENALAN

Limau purut ialah tanaman saka yang berasal dari Asia. la telah ditanam di Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak lama dahulu sehingga sukar di kesan habitat asalnya. Kebanyakan tanaman ini ditanam di persekitaran rumah secara kecil-kecilan untuk kegunaan sendiri. Kegunaan utama limau purut ialah daunnya yang sering digunakan dalam masakan. Walau bagaimanapun, buahnya dengan kulit yang berkedut, tebal dan isinya yang tidak berapa berair juga turut digunakan.

Limau purut tergolong dalam subgenus Papeda. Oleh itu ia agak berbeza daripada limau jenis lain yang tersohor kerana keenakan buahnya. Nama spesies limau purut ialah hystrix yang bermaksud landak dalam bahasa greek kerana pohonnya yang berduri. Keunikan aroma minyak pati yang disuling daripada daun limau purut adalah disebabkan oleh sebatian yang dikenal pasti sebagai (-)-(S)-sitronelal. Kandungan sebatian ini di dalam minyak pati daun limau purut adalah lebih kurang 80%. Sebatian lain yang terdapat dalam minyak pati daun limau purut ialah sitronelol (10%), nerol dan limonena. Komposisi minyak pati daripada kulit buah limau purut pula terdiri daripada limonena dan B-pinena.

​KHASIAT DAN KEGUNAAN

Daun limau purut banyak digunakan sebagai perasa terutama dalam masakan Thailand seperti tomyam. Aroma dan rasa yang dikeluarkan oleh daun limau purut memberikan keistimewaan yang tersendiri dan dikatakan tidak dapat digantikan oleh herba lain. Daun yang telah dikeringkan juga digunakan dalam pelbagai ramuan perubatan tradisional dan mempunyai aktiviti antihistamina, antispasmodik, dan hipotensi. Selain itu, daun limau purut juga digunakan sebagai salah satu bahan untuk mandi tersat atau mandi wap. Kajian mutakhir pula menunjukkan bahawa daun limau purut segar berpotensi sebagai sumber yang berkesan sebagai penggalak anti tumor atau pencegah kanser. Secara tradisinya buah limau purut turut digunakan untuk mencuci rambut dengan mencampurkannya bersama beluru atau sintok. Air yang diperah daripada buahnya pula digunakan untuk membunuh pacat selain digunakan untuk mencuci mulut dan dikatakan dapat menguatkan gusi. Air yang diperah daripada buahnya juga dikatakan dapat membantu mengatasi masalah zakar yang lemah apabila dicampurkan dengan lada hitam yang telah ditumbuk dan dijadikan minuman. 

Kulit buah limau purut pula sering digunakan untuk membuat jamu dan digunakan untuk memeram, dan memberikan rasa dan aroma yang tersendiri terhadap masakan berdaging. Minyak pati yang diekstrak melalui penyulingan wap menggunakan kulit buah dan daun juga didapati mempunyai aroma yang khusus dan banyak digunakan untuk pelbagai kegunaan aromaterapi, nutraseutikal dan produk penjagaan diri. Minyak pati limau purut yang mempunyai sifat-sifat antiseptik, astringen dan antibakteria membolehkannya digunakan dalam produk untuk merawat luka, lebam dan sengatan serangga berbisa. Minyak pati limau purut yang dicampurkan ke dalam minyak urut pula dapat memberikan kesegaran dan merangsang perjalanan darah yang lancar pada kulit. Penggunaannya dalam air mandian terapeutik dan minyak urut juga dapat membersihkan kulit.

Baca Selanju​tnya...